![](https://media.buletintv3.my/2023/03/N4Vf4Xy0-pp-cms-5.jpg)
CYBERJAYA: Telekom Malaysia (TM) Bhd melalui cabang perniagaan-ke-perniagaannya iaitu TM One melancarkan TM One Sandbox, platform bertujuan mempercepatkan penciptaan penyelesaian inovatif bagi membantu kemajuan teknologi dalam industri.
Terletak di Akademi Digital TM di Universiti Multimedia (MMU) di sini, pusat itu membolehkan pihak berkepentingan membangun dan melaksanakan ujian secara langsung dan ujian perkhidmatan pada persekitaran operasi sandbox sehingga ia bersedia untuk dikomersialkan.
Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim berkata, platform itu memfokuskan kepada tiga komponen utama, iaitu menyediakan platform untuk perniagaan berinteraksi dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan, menawarkan makmal inovasi dan menyediakan akses pasaran untuk pemain industri.
“TM One Sandbox bukan sahaja boleh diakses oleh rakan kongsi industri kami tetapi juga untuk semua rakan kongsi termasuk pelanggan, pihak majlis tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang ingin mengambil bahagian dalam simulasi penyelesaian pintar untuk negara,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran pusat itu, di sini.
Bidang tumpuan utama untuk penubuhan pusat ini, katanya, ialah bandar pintar, industri pintar, pertanian pintar dan penjagaan kesihatan pintar.
Menurut Shazurawati, TM One Sandbox juga menjadi pelengkap kepada program TM One 5G Sphere yang dilancarkan baru-baru ini, iaitu ekosistem pemboleh penyelesaian pintar dan digital untuk perusahaan dalam menuju ke arah transformasi digital mereka.
“Sejak pelancaran TM One 5G Sphere, kami telah mendaftarkan lebih 70 rakan kongsi tempatan dan global, dan dengan platform ini, kami boleh menghimpunkan pelbagai simulasi di satu tempat untuk ditawarkan kepada rakan kongsi kami hasil perniagaan yang berbeza,” tambahnya.
Platform ini, katanya, adalah mengenai memacu kebolehskalaan dan kesedaran penggunaan digital dalam kalangan perniagaan termasuk syarikat pemula niaga yang ingin mengembangkan idea mereka. -BERNAMA