KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi memperkemas butiran pakej dan pelaksanaan Pakej Perpaduan Jalur Lebar, bagi memastikan inisiatif itu sampai ke golongan sasarannya secara efektif menjelang pelancarannya bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar, berkata pakej itu menawarkan jalur lebar tetap tanpa had yang lebih mampu milik dan memberi penjimatan sebanyak RM480 kepada setiap isi rumah yang layak.
Katanya, ini melengkapi Pakej Perpaduan Prabayar Mudah Alih yang diumumkan sebelum ini bagi membawakan ketersambungan yang sentiasa tersedia kepada individu dan golongan isi rumah sasaran utama.
“Kedua-dua perkhidmatan ini akan ditawarkan masing-masing menerusi Unifi Home dan Unifi Mobile.
Ini turut memperkukuh kepimpinan Konvergens Tetap-Mudah Alih TM, dengan menawarkan jalur lebar tetap, perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan data, kandungan digital dan penyelesaian inovatif bersepadu kepada setiap rakyat Malaysia, perniagaan dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Imri berkata, susulan pengumuman oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkenaan pakej itu, TM komited dalam menyokong sasaran kerajaan bagi membawakan kesalinghubungan kepada sasaran utama masyarakat.
Katanya, menumpukan kepada segmen-segmen yang memerlukan khususnya B40, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), veteran tentera dan polis, penawaran pakej itu selari denganaspirasi TM untuk memperkasa Digital Malaysia dan memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini terutama sekali bagi mempromosi pengindustrian digital yang inklusif dan mampan dan merangsang inovasi, selain mengurangkan ketidaksamaan serta memperkasa keterangkuman sosial dan ekonomi untuk semua.
“Sebagai sebuah organisasi korporat yang bertanggungjawab, TM mempunyai kebertanggungjawapan sosial untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Imri menambah, inisiatif itu akan memperkukuh keterangkuman digital negara serta membawa akses dan peluang digital kepada semua lapisan masyarakat.
“Pakej Perpaduan dilancarkan pada masa yang penting dalam fasa pemulihan negara dan melengkapi inisiatif nasional yang lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Payung Rahmah bagi memastikan kualiti hidup yang lebih baik buat golongan masyarakat berkenaan.
“Ini menjadi satu lagi cara untuk menangani kos kehidupan yang semakin meningkat dan membawa kita kembali ke landasan tepat dalam membina ekonomi digital Malaysia, biarpun wujud cabaran seperti yang dijangkakan,” katanya. –BERITA HARIAN