
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan industri automotif (TIV) Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak 720,658 unit pada 2022, sekali gus mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 666,598 unit pada 2015.
RHB Investment Bank Bhd berkata jumlah pengeluaran industri (TPV) turut mencatat angka rekod sebanyak 702,000 unit.
“Angka yang kukuh itu didorong oleh peningkatan permintaan, pelancaran (model) baharu, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menarik kehadiran ramai pembeli membuat tempahan, peningkatan pegeluaran serta rantaian bekalan yang kembali pulih.
“Jumlah TIV tertinggi 2022 iaitu 77,000 pada Disember menjadikan TIV bagi tahun itu mencecah 720,658 unit — melonjak 42 peratus tahun ke tahun dan memecahkan rekod pada 2015,” katanya dalam nota tinjauannya hari ini.
Bank pelaburan itu berkata TIV pada 2022 juga lebih tinggi daripada jangkaan awal sebanyak 700,000 serta unjuran oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 630,000.
“Bagi tahun ini, kami menjangkakan pendapatan itu akan susut daripada asas yang tinggi akibat penyusutan jualan serta penilaian hadapan pada atau melebihi purata sebelum ini.
“Antara risiko penyusutan itu adalah disebabkan oleh tekanan makroekonomi berterusan yang boleh menjejaskan tempahan, kadar faedah lebih tinggi daripada jangkaan serta gangguan rantaian bekalan.
“Risiko peningkatan pula melibatkan tempahan lebih kukuh berbanding jangkaan serta pergerakan pertukaran asing yang menggalakkan,” katanya.
Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata TIV tertinggi pada 2022 itu dipacu terutamanya oleh Perodua yang mencatat TIV tertinggi sebanyak 282,029 unit (melonjak 48 peratus tahun ke tahun).
“Jenama utama lain masih kukuh pada 2022 walaupun tidak mencecah paras tertinggi masing-masing.
“Bagi tahun ini, kami menjangkakan TIV itu akan kekal tinggi pada 678,000 unit. Tidak mustahil TIV akan menguji semula kemampuan mencecah paras rekod berikutan tempahan tertunggak yang besar serta momentum tempahan baharu yang lebih kukuh,” katanya. – BERNAMA