Tumpuan :
Detik Niaga

TIN, e-invois kurangkan ekonomi bayangan tanpa GST

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan nombor pengenalan cukai (TIN) dan e-invois adalah inisiatif kerajaan bagi mengurangkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata dua kaedah itu adalah sebagai ‘Pelan B’ kepada usaha mengurangkan saiz ekonomi bayangan tanpa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau mengakui pelaksanaan GST dalam tempoh 2015 hingga 2018 berjaya mengurangkan ekonomi bayangan sebanyak 10 peratus berbanding kira-kira 30 peratus sebelum itu.

“Bagi elak perkara itu (ekonomi bayangan), Kementerian Kewangan membuat Pelan B. Kita guna Plan B iaitu TIN, umur 18 tahun sudah diberi nombor cukai.

“e-invois pula membolehkan segala nota debit, kredit didigitalkan dan berhubung secara dalam talian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini untuk elak ekonomi gelap bercambah dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya

Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024.

Sementara itu, pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

TIN akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois supaya ia dapat melebarkan lagi jaringan pembayar cukai susulan pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya mengurangkan ketirisan hasil.

Dalam Belanjawan 2024, kutipan hasil kerajaan pada 2024 dijangka menyaksikan peningkatan kepada RM307.6 bilion berbanding RM303.2 bilion tahun ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini