Tumpuan :
Detik Niaga

Tidak bergabung, tapi diletakkan bawah entiti baharu

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd menegaskan tiada penggabungan membabitkan semua syarikat penerbangan di bawahnya, sebaliknya ia akan diletakkan di bawah satu entiti baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, semua cabang penerbangan di bawah Capital A antaranya AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd, yang mempunyai pegangan saham dalam AirAsia Indonesia, AirAsia Filipina dan AirAsia Thailand serta AirAsia X akan diletakkan di bawah AirAsia Aviation Group (AAG).

Katanya, biarpun diletakkan di bawah satu entiti, namun dari segi operasi, setiap syarikat penerbangan akan beroperasi secara berasingan.

“Tiada penggabungan,tetapi sebagai sebuah syarikat di bawah AAG, kami boleh mengurangkan banyak kos, tetapi setiap penerbangan akan beroperasi bersendirian.

“Ia seperti IAG (International Airlines Group) yang memiliki (syarikat penerbangan) British Airways, Iberia dan Aer Lingus.”Jadi AAG akan memiliki AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia X dan Thai AirAsia X. Tiada penggabungan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tony berkata, menuju ke depan syarikat penerbangan itu akan menerima pesawat Airbus A321 yang mana ia telah menempah 325 pesawat berkenaan.

Mengenai rangkaian SUPER+ baharu itu Tony berkata, pihaknya telah berusaha untuk menyediakan syarikat untuk memenuhi lonjakan permintaan terhadap pengembaraan.

“Kami teruja dengan pembukaan semula pasaran pelancongan seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan banyak lagi yang akan datang dalam masa terdekat.

“Ini adalah satu lagi produk yang menyerlahkan DNA kami iaitu untuk mencipta nilai untuk pelanggan kami, dan kami akan terus memperjuangkan ini dalam semua produk dan perkhidmatan baharu yang akan kami perkenalkan pada masa hadapan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini