Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan di negara ini perlu menerapkan ciri identiti berbilang bangsa dan budaya di Malaysia.
Saranan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat tanggungjawab itu digalas pemaju hartanah, arkitek dan pembuat dasar.
Pembangunan projek juga perlu menampilkan seni bina dan reka bentuk yang menerapkan elemen budaya tempatan, berteknologi, mesra alam dan inklusif.
“Terdapat kelompok Orang Asli, Melayu, Cina serta India adalah sebahagian daripada masyarakat di negara ini dan jika anda lihat di Sabah dan Sarawak, anda akan menyaksikan kehebatan nilai budaya dalam kalangan etnik Dayak, Kadazan serta Murut. Adalah sesuatu yang memalukan jika kita tidak berusaha untuk menampilkan ciri-ciri ini sama ada ketika perancangan, rekaan atau pembinaan,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada persidangan Meja Bulat Menteri Asean-China mengenai pembinaan dan perumahan (ACMROCH).
Perdana Menteri turut mengingatkan sebarang projek pembangunan perlu mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat dan permintaan semasa rakyat.
Kerajaan turut digalakan untuk menerapkan dasar perkongsian awam-swasta untuk membangunkan infrastruktur dan projek perumahan awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.