Oleh Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: PERODUA yang mempunyai tempahan tertunggak sebanyak 220,000 unit, akan menyerap kos cukai jualan bagi kenderaan yang dserahkan selepas selepas tarikh akhir bagi menikmati pengecualian cukai jualan pada 31 Mac..
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat memberi fokus untuk memenuhi tempahan dibuat sehingga 30 Jun 2022, pihaknya tidak mampu menyerahkan sepenuhnya bersandarkan kajian dan rancangan yang dilakukan setakat ini.
“Kalau pelanggan kami telah membuat tempahan bagi menikmati pengecualian cukai jualan, kami harus tanggung cukai jualan itu meskipun dia terima kenderaan selepas 31 Mac 2023. Kami akan pastikan kerana ia masalah kami kerana tidak mampu menyerahkan kereta menjelang 31 March 2023. Itu janji yang akan kami tunaikan.” katanya dalam satu taklimat media mengenai Prospek Prestasi Perodua 2023 di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memberi insentif pengecualian cukai jualan kenderaan bagi tempahan dibuat sehingga 30 Jun 2022, manakala tempoh daftar dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Dalam pada itu, syarikat automotif itu sasar memaksimakan pengeluarannya ke 330,000 unit dan jualan ke 314,000 unit tahun ini didorong tempahan tertunggak dari tahun lalu selain permintaan berterusan untuk kenderaannya.
Bagi memenuhi sasaran berkenaan tahun ini, Perodua peruntukkan RM10 bilion bagi membeli alat ganti dari pembekal tempatan.
Syarikat automotif itu turut memperuntuk RM 1.15 bilion perbelanjaan modal bagi menambahbaik operasi.
Antara bidang utama penambahbaikan termasuk bahagian perniagaan baharunya di mana PERODUA kini meluaskan perniagaan Kenderaan Terpakai (POV).
“Kami juga memperuntukkan RM 537.1 juta untuk pembangunan model baharu serta RM 247.1 juta untuk memodenkan lagi operasi termasuk menaiktaraf pusat 1S dan 2S sedia ada kepada pusat 3S”.
“Perbelanjaan modal yang besar adalah untuk pembangunan model baharu bagi keluaran tahun 2024 dan 2025”.katanya.
Ditanya sama ada PERODUA akan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh terdekat, Datuk Seri Zainal berkata, pihak-nya kini menuju ke arah itu sejajar langkah diambil kebanyakan pengeluar kenderaan lain ketika ini.
Beliau berkata, syarikatnya kini berada di peringkat pemerkasaan dan peningkatan operasi vendor-vendor tempatan terlebih dahulu bagi pengeluaran kenderaan EV.
Ke arah itu, PERODUA akan mengenal pasti syarikat global dengan elektrifikasi dan teknologi maju ini bagi meneroka jalinan kerjasama strategik bersama vendor tempatan.