comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tempahan kereta baharu dijangka meningkat

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan terpendam terhadap kenderaan masih lagi teguh dengan dipacu oleh pelancaran model baharu.

Menurut penganalisis RHB Investment Bank Bhd Jim Lim Khai Xhiang, semakan lapangan di Pameran Automotif Malaysia 2023 pada Sabtu lalu mendapati anjuran kali ini sarat dipenuhi pengunjung, lebih-lebih lagi di reruai jenama Toyota, Honda dan BMW yang mendapat kunjungan ramai pelawat.

“Meskipun tempahan kebiasaannya menurun dari separuh kedua 2022 dan suku pertama 2023, sesetengah model terkenal masih mempunyai tempoh menunggu lama yang memakan masa beberapa bulan.

Kehadiran jenama kenderaan China berjaya memancing perhatian ramai apabila pengunjung bersesak-sesak mengerumuni di sekeliling model-model mereka yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Walaupun keadaan di reruai PERODUA adalah sebaliknya, ia mempunyai bilangan pembeli kereta yang ramai menunggu kelulusan pinjaman.

“Rata-rata model kereta PERODUA mempunyai tempoh menunggu lebih dua bulan, dengan Bezza dan Axia memakan masa enam bulan atau lebih. Reruai PROTON tidak menampilkan model pameran X90, tetapi kakitangan jualannya berkata pihak pembekal kereta sudah mula mengambil pesanan bagi X90.

“Reruai Honda dilihat mendapat kunjungan khalayak yang paling ramai sekali. Tempoh menunggu bagi tempahan model HR-V dan Civic adalah selama empat hingga enam bulan sedangkan model-model yang lain sama ada mempunyai stok tersedia ataupun mengambil masa selama satu hingga dua bulan untuk penghantaran.

“Reruai Toyota juga sesak padat terutamanya di ruang sekitar model-model GR. Tempahan untuk model serba baharu Vios memerlukan masa menunggu enam hingga tujuh bulan tanpa sebarang pembatalan dibuat setakat ini akibat khabar skandal model Daihatsu yang tersebar baru-baru ini. Semua model lain mempunyai masa menunggu kira-kira tiga bulan,” katanya.

Loading...
Terkini