KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit perlu sejajar dengan kemajuan teknologi berikutan ia merupakan pemboleh ubah penting dalam mematuhi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif DIBIZ Malaysia Sdn Bhd U.R. Unnithan berkata, penyelesaian yang dipacu teknologi menawarkan langkah untuk menangani cabaran apabila mematuhi EUDR.
“Keterlihatan masa nyata melalui sistem blockchain atau Internet of Things (IoT) boleh memberikan ketelusan dalam rantaian bekalan, selain turut membolehkan kebolehkesanan.
“Sistem digital dapat membantu dalam mengumpul data transaksi rantaian bekalan pada masa nyata, memantau aktiviti penebangan hutan melalui pengimejan satelit masa nyata dan memudahkan penyimpanan rekod dalam repositori digital pada setiap nod rantaian bekalan termasuk pekebun kecil.
“Dengan melaksanakan imejan satelit, penderiaan jarak jauh dan data geospatial, ia menjadi lebih mudah untuk mengesan dan mengurangkan aktiviti penebangan hutan, memastikan pematuhan kepada amalan mampan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pekebun kecil dalam industri minyak sawit, yang menyumbang 50 peratus daripada pengeluaran dunia memainkan peranan penting dalam pengeluaran minyak sawit dan sering menghadapi halangan dari segi struktur, sosial dan ekonomi.
“Aplikasi mudah alih seperti DIBIZ menawarkan secara percuma kepada pekebun kecil dengan latihan, maklumat pasaran dan harga akan memperkasakan mereka dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Unnithan menjelaskan bahawa untuk mencapai pematuhan terhadap EUDR memerlukan kerjasama dalam kalangan pemain industri, platform teknologi dan pihak berkepentingan.
Sebagai rumusan, katanya teknologi mempunyai potensi besar dalam memudahkan penyertaan pekebun kecil dan pematuhan terhadap EUDR. – BERNAMA