Oleh Afrina Romzi
SERI KEMBANGAN: Pengasas Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee kim Yew menegaskan beliau amat solven dan tidak pernah mengisytiharkan kebankrapan.
Jelas beliau, keputusan Mahkamah Timbang Tara Amerika Syarikat (AS) telah digunakan untuk memfailkan notis kebankrapan terhadapnya di Jabatan Insolvensi Malaysia.
Perintah muflis yang dikenakan kepada Tan Sri Lee ekoran tindakan bekas pekerja beliau, Patrick Healy yang berkhidmat di salah sebuah syarikat miliknya di AS, Club Excellence Inc.
Healy yang telah menerima yuran perundingan RM2.5 juta sebelum ini, bagaimanapun mengemukakan saman sebanyak RM3 juta di Mahkamah Timbang Tara AS.
“Dia (Healy) menggunakan undang-undang bankrap Malaysia, sebenarnya ada banyak kaedah, untuk duduk dengan saya atau bercakap dengan saya, kami kawan dan dia memilih undang-undang bankrap,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Tan Sri Lee yang diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Januari lalu, telah meletakkan jawatan daripada semua lembaga pengarah syarikatnya.
Selepas itu, rundingan untuk mengetepikan perintah dijalankan antara peguam kedua-dua pihak sehingga 10 April lalu.
Namun, Healy bertukar peguam baharu pada 10 April, hari yang sama Keputusan Carian Kebankrapan e-Insolvensi direkodkan.
“Siapakah pada 10 April membayar RM100 dan memuat turun dari Jabatan Insolvensi?,” soalnya.
Disebalik status bankrap, Tan Sri Lee menegaskan beliau jauh dari muflis dan mampu melunaskan RM3 juta itu jika mahu.
“Saya jauh dari insolvensi, saya sangat solven sebagai usahawan Malaysia…saya tidak memilih untuk menjadi bankrap. Saya tidak mahu muflis. Saya tidak pernah mengisytiharkan diri saya muflis atau memfailkan kebankrapan sendiri,” tegas beliau.
Beliau juga telah memaklumkan kepada kerajaan untuk membenarkan peguamnya meneruskan rundingan dengan peguam Patrick Healy, untuk mengetepikan perintah mahkamah.
Jika gagal, Tan Sri Lee akan menghubungi Jabatan Insolvensi Malaysia dengan deposit RM3 juta, untuk menyelesaikan masalah ini.