comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TalentCorp tumpu lahirkan pakar semikonduktor, pusat data tempatan

KUALA LUMPUR: TalentCorp Malaysia Bhd (TalentCorp) menerusi inisiatif MyMahir Future Skills Talent Council akan memberi tumpuan melahirkan bakat tempatan dalam sektor semikonduktor dan pusat data bagi memenuhi keperluan industri.

Ketua Bahagian Kelestarian Kehidupan-Bekerja TalentCorp, Annapooranee Suppiah, berkata semikonduktor dan pusat data, masing-masing termasuk dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadi antara sektor diberikan fokus, selain aeroangkasa dan biofarmaseutikal.

“TalentCorp sememangnya berusaha untuk memastikan permintaan industri seperti semikonduktor dan pusat data terhadap bakat tempatan dapat dipenuhi.

“Bahkan bukan itu sahaja, berdasarkan dapatan Senarai Pekerjaan Kritikal MyCOL 2022/2023 TalentCorp, terdapat beberapa sektor yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam negara seperti aeroangkasa, sektor pemprosesan makanan serta pembinaan,” katanya kepada media selepas TalentCorp memuktamadkan kerjasama dengan perintis agregator teknologi sumber manusia, Qwork di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Qwork, Muna Wan Nordin.

Annapooranee berkata, bagi memastikan keperluan industri dapat dipenuhi, TalentCorp sentiasa memperkukuh kerjasama dengan rakan Industri dan ahli akademi menerusi inisiatif lain seperti Kerjasama Industri-Ahli Akademi (IAC).

Selain itu katanya, agensi lain di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengenalpasti jenis tenaga kerja berkemahiran dan latihan yang terbaik dalam mempersiapkan tenaga kerja berkemahiran.

“Menerusi Inisiatif MyHeart TalentCorp pula, kami sentiasa menghubungkan diaspora profesional Malaysia yang menetap di luar negara bersama industri tempatan dan pelabur domestik untuk berkongsi kepakaran mereka serta sekiranya terdapat keperluan membawa balik bakat tempatan kita seperti lebih 4,000 orang diaspora yang telah pulang menerusi Program Kepulangan Pakar TalentCorp.

“TalentCorp sememangnya bersedia membantu kepulangan pakar tempatan pulang ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, TalentCorp mengumumkan perkongsian pertama dengan Qwork untuk merevolusikan landskap ekonomi gig Malaysia.

Menurut penyelidikan baru-baru ini, bilangan rakyat Malaysia yang bekerja dalam ekonomi gig mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak tiga juta pada 2023.

Angka itu mewakili lebih 17 peratus tenaga kerja negara, menandakan peningkatan yang luar biasa sebanyak 25 peratus daripada 2.4 juta individu bekerja sendiri direkodkan pada 2021.

Menurut TalentCorp, pertumbuhan itu juga bukan sekadar peningkatan statistik, tetapi ia menonjolkan anjakan teguh dalam corak pekerjaan, nilai komuniti, keupayaan teknologi dan struktur ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Thomas Mathew dalam ucapan yang dibacakan Annapooranee, berkata, perkongsian strategik antara Qwork dan TalentCorp ditetapkan untuk memberikan cerapan dan data yang dijana oleh platform dikuasakan kecerdasan buatan (AI) Qwork.

Katanya, platform itu akan digunakan oleh TalentCorp untuk menerbitkan kertas penyelidikan komprehensif mengenai ekonomi gig yang semakin berkembang dan segmen kerja yang fleksibel serta faedah fiskalnya kepada PKS.

“Kerjasama ini juga bertujuan untuk mewujudkan inovasi dan kerjasama, memacu amalan bakat yang mampan merentas industri.

“Bakat sedia ada masa depan dan industri adalah gambaran semula asas paradigma kehidupan kerja. Bagi majikan, ia menawarkan akses kepada kumpulan bakat yang luas dan pelbagai yang merentasi sempadan geografi.

“PMKS kini boleh memanfaatkan kemahiran dan kepakaran profesional di seluruh dunia, meningkatkan daya saing dan ketangkasan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Muna berkata, dengan gabungan algoritma pemadanan bakat termaju Qwork bersama platform MyNext TalentCorp, ia akan meningkatkan keupayaan syarikat itu untuk menempatkan pelatih mahir ke dalam tenaga kerja dengan berkesan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini