Oleh Suzila Idayu Yaacob
GENEVA: Syarikat penerbangan global diunjur mencatatkan keuntungan pertama tahun depan dengan keuntungan bersih AS$4.7 bilion sejak pandemik melanda.
Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh berkata keyakinan itu berikutan syarikat penerbangan terus mencatat pemulihan walaupun masih berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Kerugian bersih syarikat penerbangan global juga dijangka lebih rendah dengan anggaran AS$6.9 bilion, lebih baik berbanding AS$9.7 bilion yang diunjur pada Jun.
“Bagaimanapun keuntungan AS$4.7 bilion daripada perolehan industri sebanyak AS$779 bilion juga menggambarkan bahawa terdapat banyak lagi asas yang perlu ditangani untuk meletakkan industri global pada kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya semasa sesi pembentangan bertajuk ‘Unjuran bagi Penerbangan’ pada Hari Media Global IATA yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Walsh berkata walaupun terdapat syarikat penerbangan yang cukup menguntungkan untuk menarik modal yang diperlukan bagi memacu industri itu ke hadapan namun, banyak lagi yang masih bergelut ekoran pelbagai sebab seperti kos yang tinggi dan infrastruktur tidak cekap.
Menurut IATA, syarikat penerbangan Eropah dan Timur Tengah dijangka turut seiring dengan syarikat penerbangan Amerika Utara, untuk kembali memperoleh keuntungan pada 2023.
“Secara keseluruhan, rantau ini dijangka memenuhi 97.2 peratus daripada tahap permintaan sebelum krisis dengan 98.9 peratus kapasiti sebelum krisis pada 2023,” jelasnya.
Walsh menambah, pertumbuhan Asia Pasifik akan dikekang oleh dasar sifar COVID-19 oleh China ke atas perjalanan, dengan kerugian rantau itu berkurangan kepada AS$6.6 bilion pada 2023 daripada AS$10 bilion pada 2022.
“Mengambil pandangan konservatif mengenai pelonggaran sekatan yang progresif di China sepanjang separuh kedua 2023, kami bagaimanapun menjangkakan permintaan terpendam yang kukuh akan mendorong lantunan pantas susulan langkah sedemikian,” katanya.