KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu, Swift Haulage Bhd menyasarkan untuk membeli lori terminal atau ‘prime mover’ elektrik sahaja bermula 2030 sebagai sebahagian komitmennya ke arah kemampanan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage, Loo Yong Hui, berkata dengan komitmen itu, pihaknya hanya akan membeli lori terminal elektrik dan tiada lagi pembelian lori terminal sama ada yang menggunakan bahan api diesel atau pembakaran enjin dalaman.
Katanya, kumpulan tidak dapat melakukan pembelian lori terminal elektrik sepenuhnya buat masa ini kerana bekalannya yang masih terhad.
“Lori terminal elektrik menyediakan tahap kecekapan guna tenaga lebih tinggi, kos penyenggaraan lebih rendah, dan operasi yang lebih senyap, memberikan penyelesaian logistik yang lebih mampan dan menjimatkan kos dalam jangka panjang.
“Di Swift, kemampanan bukan satu istilah hangat diperkatakan semata-mata, ia adalah prinsip yang dijadikan panduan. Kami benar-benar berpegang teguh kepada tiga matlamat utama, sebagai sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan demi insan, bumi, dan keuntungan.
“Pada hari ini, kami mengambil langkah penting ke arah mewujudkan masa depan lebih lestari dengan melancarkan bahagian logistik hijau dan menyerahkan lori terminal elektrik pertama Malaysia kepada Unilever Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bahagian Logistik Hijau Swift dan Penyerahan Lori Terminal Elektrik Pertama Malaysia kepada Unilever Malaysia di sini, hari ini.