Tumpuan :
Detik Niaga

Sushil Purohit dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Gentari

FOTO: Sushil Purohit

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd, hari ini mengumumkan pelantikan pemimpin industri tenaga, Sushil Purohit sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) pertamanya berkuatkuasa pada 16 Jan, 2023.

Pengerusi Gentari Datuk Muhammad Taufik berkata Sushil yang berpengalaman luas dalam industri tenaga baharu, akan menjadi aset penting dalam usahanya mengemudi syarikat itu menceburi pasaran berkaitan.

Beliau berkata, berdasarkan pencapaian sejak penubuhan Gentari, Sushil akan menyasarkan untuk membuka laluan baharu bagi mengetengahkan penyelesaian tenaga hijau selain merebut peluang dalam usaha peralihan tenaga tersebut.

“Lembaga Pengarah berharap pengalaman industri yang akan dibawanya dapat menyuntik sinergi berserta dengan keupayaan kepimpinan pasukan di Malaysia.

“Beliau akan mengemudi Gentari untuk muncul sebagai penyedia penyelesaian bersepadu sifar bersih dengan keutamaan dalam membangunkan tiga teras tenaga boleh baharu, hidrogen serta mobiliti hijau,” katanya.

Sushil yang sebelum ini menggalas tugas sebagai presiden Wärtsilä Energy serta naib presiden eksekutif dan ahli Lembaga Pengurusan di Wärtsilä Corporation, membawa lebih 28 tahun pengalaman industri tenaga global ke dalam Gentari.

Kepakaran dan pengalamannya dalam sektor tenaga baharu itu turut merentasi lebih daripada 70 negara dengan rekod prestasi melibatkan tugasan menyelia operasi di benua Amerika, Timur Tengah, Asia selain Australia. – BERNAMA

Loading...
Terkini