Tumpuan :
Detik Niaga

Suruhanjaya Koperasi umum dividen 3.6 peratus tahun kewangan 2024

 

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftnan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal. – Foto NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan agihan pendapatan Akaun Deposit Koperasi (ADK) kepada pendeposit (koperasi) sebanyak 3.6 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dengan jumlah agihan pendapatan RM12.46 juta.

Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata sehingga 31 Disember 2024, 904 koperasi termasuk Co-opbank Pertama (CBP) telah mendepositkan ADK-Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) dengan jumlah terkumpul RM411.2 juta.

“Jumlah ini meningkat kepada 904 koperasi daripada 459 buah koperasi pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 97 peratus.

“Manakala jumlah keseluruhan deposit meningkat 32 peratus kepada RM411.2 juta daripada RM312.5 juta pada tahun 2023,” katanya kepada media selepas pengumuman dividen ADK-KWRS di sini, hari ini.

Tambah beliau, prestasi itu menunjukkan sektor koperasi terus relevan walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi.

“Pada Januari 2025, jumlah deposit di dalam akaun ADK melebihi RM411.2 juta dan merupakan satu prestasi yang sangat memberangsangkan kepada gerakan koperasi,” katanya.

Sebagai penghargaan, sebanyak 20 koperasi telah dipilih menerima sijil penghargaan agihan pendapatan ADK tahun 2024 daripada SKM.

Tiga koperasi dengan jumlah akaun deposit tertinggi 2024 ialah Koperasi Polis Diraja Malaysia Bhd, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd dan Koperasi NLFCS Bhd.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini