KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia mengumumkan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baharu berkuatkuasa hari ini dengan kontrak dua tahun.
Perkongsian Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia turut dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengucapkan tahniah kepada Suhardi atas tugas baharu yang sebelum ini digalas Ibrahim Mohd Yusof sejak 2020.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Hannah Yeoh dan KBS atas kepercayaan bagi menggalas tugas sebagai PJS. Saya rasa ini tanggungjawab yang besar perlu dipikul untuk memastikan kita dapat memperkasakan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan juga persatuan di peringkat negeri dan daerah.
“Salah satu dari perkara yang penting adalah untuk melihat aspek tadbir urus yang baik yang mana sekiranya kita dapat memperkasakan aspek tadbir urus yang baik di semua peringkat saya yakin ia dapat membantu pengurusan sukan, seterusnya meningkatkan prestasi sukan di peringkat yang lebih tinggi,” kata Suhardi.
Suhardi yang memiliki pengalaman 32 tahun dalam bidang pengurusan dan sains sukan mula berkhidmat di MSN pada 1 April 1991.
Selain menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan), Suhardi turut pernah menjadi Ahli Jawatankuasa
Penarafan Persatuan Sukan Kebangsaan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 2009.
Selain itu, beliau juga adalah pengerusi dan pelopor Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan serta penggubal dan tenaga pengajar Kursus Sains Sukan Kebangsaan dan terbabit dalam penyediaan “Road Map” Industri Sukan Negara.
Beliau juga terbabit dalam penyediaan Visi Sukan Negara 2030.