KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar elektrik, diesel dan RON95 dijangka mampu membantu kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.5 peratus menjelang 2025, demikian menurut penganalisis.
CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan berkata, ia telah melihat penjimatan datang daripada normalisasi harga komoditi global, sehubungan itu subsidi bersasar item yang dinyatakan adalah memadai untuk mengukuhkan imbangan fiskal.
Ia berkata, berdasarkan pertemuan dengan beberapa pelabur institusi dalam dua minggu ini, didapati terdapat perubahan dalam sikap pelabur terhadap dasar kerajaan.
Katanya, terdapat penerimaan umum terhadap pandangan pihaknya bahawa mesej kerajaan mengenai rancangan dan strategi jangka sederhana kini lebih jelas.
Jelasnya, beberapa pelabur berminat untuk memahami beberapa bidang berpotensi di mana subsidi boleh dikurangkan dan seandainya perubahan besar diperlukan untuk mencapai sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025.
“Kami menunjukkan bahawa sudah ada penjimatan yang datang daripada normalisasi harga komoditi global manakala subsidi bersasar seperti elektrik, diesel dan RON 95 (lebih ke arah separuh kedua 2024), sudah memadai untuk mengukuhkan imbangan fiskal.
“Kami juga mengetengahkan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh diperkenalkan secara beransur-ansur dan berperingkat kerana peningkatan hasil tambahan adalah tidak diperlukan untuk mencapai sasaran 3.5 peratus itu,” katanya.
Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, pelaksanaan projek sebenar dan kelulusan Kabinet serta Parlimen yang kritikal dilihat perlahan.
Ia berkata, pihaknya merasakan tahap kekecewaan memandangkan tidak ada keperluan mendesak untuk memulakan projek pemangkin, yang penting untuk mencapai agenda Ekonomi MADANI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.