Tumpuan :
Detik Niaga

SPNB bina 3,410 unit rumah mesra rakyat tahun ini 

Foto hiasan

SEKINCHAN: Sebanyak 3,410 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina di seluruh negara di bawah seliaan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek RMR kian mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat yang berpendapatan tidak lebih RM5,000 sebulan.

“Ketika ini kita menerima sejumlah 6,829 permohonan yang pralayak manakala 87,687 permohonan  di peringkat proses daftar untuk pembinaan RMR,” katanya kepada sidang media selepas membuat lawatan ke beberapa tapak projek di sekitar Sekinchan hari ini.

Justeru, katanya SPNB perlu meningkatkan kecekapan dalam pembinaan projek RMR dan memastikan seramai mungkin penerima projek rumah tersebut dapat disiapkan dengan segera.

“Apabila kita melihat projek ini selain daripada tanah yang disediakan oleh pihak pemohon, kita juga perlu menilai kemudahan termasuk akses kepada jalan, air dan elektrik untuk memudahkan proses pembinaan rumah,” katanya.

Menurutnya SPNB telah menambah baik proses pembinaan unit RMR kepada sistem yang lebih sistematik dan menyumbang kepada penjimatan kos buruh iaitu selepas pemasangan tiang, kontraktor pembinaan akan menyiapkan bumbung terlebih dahulu sebelum kerja-kerja dinding dan lantai dilakukan.

“Menerusi proses in, kontraktor dapat meneruskan kerja-kerja pembinaan dalam keadaan yang selesa dalam apa jua cuaca sekalipun, sekali gus mempercepatkan tempoh penyiapan RMR.” katanya.

Beliau berkata dengan perancangan dan kaedah pembinaan yang sistematik, RMR yang berkeluasan 750 kaki persegi dapat dikekalkan harganya sejak 2020, sebanyak RM75,000 seunit termasuk RM20,000 subsidi yang diberikan kerajaan.

Sejak projek RMR diperkenalkan pada 2002, SPNB telah siap membina 58,425 unit rumah di seluruh negara.

Loading...
Terkini