KUALA LUMPUR: Cadangan pengenalan skim hibrid manfaat tertakrif (DB) dan caruman tertakrif (DC) dilihat wajar dilaksanakan berikutan ia sejajar dengan perjalanan negara menuju ke arah negara tua menjelang 2043, kata penganalisis.
Malah, perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri juga memberi cabaran kepada sistem perlindungan sosial yang ada bagi memastikan keterangkuman dan keselamatan yang lebih baik untuk rakyat.
Skim DB dikenali sebagai pelan pencen tradisional yang menyediakan amaun bayaran tertentu semasa persaraan, sementara DC pula membolehkan pekerja menyumbang dan melabur dalam dana dan sekuriti lain dari semasa ke semasa untuk simpanan persaraan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata cadangan hibrid itu adalah suatu alternatif yang boleh dikembangkan terutamanya bagi pekerja swasta.
Beliau berkata, ada potensi yang boleh dikembangkan kerana secara teori skim hibrid itu boleh memberi ruang kepada ahli untuk memegang sejumlah wang yang besar di tangan mereka apabila bersara dan sebahagiannya pula akan dibayar secara berkala seperti bulanan supaya mereka tidak putus wang tunai apabila bersara.
Selain itu, katanya, liputan skim persaraan yang kini sekitar 60 peratus tenaga kerja sememangnya perlu ditingkatkan kepada 100 peratus.
“Saya fikir sasaran 100 peratus adalah sesuatu yang boleh dicapai. Umum mengetahui prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pengurusan pelaburan yang baik sehingga menghasilkan kadar dividen yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada BH bagi mengulas cadangan pengenalan skim hibrid DB dan DC bagi membolehkan Malaysia bersedia ke arah negara menua.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.