PULAU PINANG: Sistem pengangkutan khas ke Kuil Air Terjun Puncak Bukit di Pulau Tikus dibangunkan bertujuan menyediakan akses lebih mudah dan selamat ke kuil bersejarah itu, khususnya bagi warga emas serta individu yang mengalami kesukaran mobiliti.
Kini, pengunjung perlu mendaki lebih 500 anak tangga, bersamaan bangunan 20 tingkat, untuk sampai ke kuil yang terletak pada ketinggian melebihi 100 meter.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menyifatkan projek ini sebagai langkah penting untuk meningkatkan akses ke tapak kebudayaan dan keagamaan utama negeri itu. “Ia bukan sahaja memelihara warisan kaya Pulau Pinang, malah memastikan persekitaran lebih inklusif untuk semua,” katanya.
Menurut Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon, syarikat itu akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menentukan penyelesaian teknikal terbaik.
“Inisiatif ini bukan sekadar soal pengangkutan, tetapi juga keterangkuman dan pemeliharaan warisan. Kami komited memastikan setiap pengunjung, tanpa mengira usia atau keupayaan, dapat mengakses tapak bersejarah ini dengan mudah,” katanya.
Hartasuma yang membangunkan projek itu mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan infrastruktur rel dan pengangkutan mampan, termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya.
Di Pulau Pinang, syarikat itu turut menerajui pembangunan Kereta Kabel Bukit Bendera yang dijangka menjadi tarikan pelancongan utama serta merancakkan industri eko-pelancongan negeri ini.
Hartasuma juga pemegang konsesi pembangunan Kereta Kabel Bukit Bendera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.