comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sistem PADU pastikan agihan subsidi lebih adil

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

PUTRAJAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yang kini siap 60 peratus akan memastikan agihan subsidi bersasar lebih adil dan meminimumkan kumpulan berisiko tercicir berlaku, demikian kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, berkata sistem PADU apabila siap kelak akan menjadi satu pangkalan data paling lengkap yang kerajaan ada setakat ini.

Katanya, setakat ini, proses pembangunan sistem PADU yang menggabungkan maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah Malaysia berjalan lancar mengikut garis masa dirancang akan melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.

“PADU (juga) akan mengetengahkan kumpulan yang berisiko daripada tercicir. Kita akan menumpukan kepada kumpulan khusus ini (kumpulan tercicir) sama ada kita mengesahkan, membangunkan dasar berlainan untuk mereka, sama ada hendak dan mengubah mekanisme subsidi bersasar supaya memastikan mereka tidak tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sesi libat urus pembangunan PADU Menteri Ekonomi Bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Kementerian dan Agensi di sini, hari ini.

Katanya, dengan adanya PADU dan maklumat yang tepat membolehkan kerajaan merangka program dan strategi yang berpandukan data dan analisis.

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosio ekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Data sistem PADU dibangunkan merangkumi pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada dan apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen nanti, ia akan mengambil alih tata kelola perkongsian data sistem berkenaan dan menggantikan perjanjian itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini