comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Singapura bandar paling mahal di dunia untuk gaya hidup mewah – laporan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Singapura buat pertama kalinya mengatasi Hong Kong, London (UK) dan New York (AS) untuk menjadi bandar paling mahal untuk gaya hidup kelas atasan, menurut Laporan Kekayaan dan Gaya Hidup Global 2023 yang dikeluarkan oleh Julius Baer Group di Switzerland.

Laporan itu menunjukkan bahawa kereta dan insurans kesihatan asas di Singapura lebih mahal daripada purata global, dengan kos masing-masing pada 133 peratus dan 109 peratus, menurut agensi berita Vietnam (VNA).

Angka ini dinilai berdasarkan 12 barangan pengguna dan 8 perkhidmatan yang mencerminkan corak perbelanjaan golongan kaya.

Singapura ialah salah satu bandar pertama di Asia yang melonggarkan sekatan COVID-19, dan ia telah menyaksikan kemasukan kekayaan ke negara pulau itu dengan cepat.

Laporan itu juga menekankan bahawa Singapura mempunyai permintaan tinggi untuk perumahan, pendidikan mahal, dan kos sara hidup yang tinggi secara amnya.

Shanghai, yang memegang kedudukan teratas pada 2022, telah jatuh ke tempat kedua, mungkin disebabkan sekatan wabak yang berpanjangan berbanding bandar lain.

Hong Kong menduduki tempat ketiga, manakala Johannesburg (Afrika Selatan) diletakkan di bahagian bawah senarai, yang merangkumi 25 bandar di seluruh dunia, tambahnya.

Tahun lalu, Singapura dan New York mendahului senarai bandar paling mahal di dunia untuk didiami, menurut Unit Tinjauan Ekonomi (EIU).

Pertambahan penduduk, tempatan dan asing, di kawasan tanah yang kecil dianggap sebagai sebab utama kos sara hidup yang tinggi secara konsisten di Singapura.

Negara itu mempunyai sumber semula jadi yang terhad dan perlu mengimport hampir semua makanannya. Kos memiliki dan menggunakan kereta di Singapura juga antara yang tertinggi di dunia.

Loading...
Terkini