KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd memperluaskan penguasaannya dalam industri automotif serantau dengan mula memasuki pasaran Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata langkah memasuki pasaran automotif Indonesia adalah melalui PT Performance Motors Indonesia, sebuah usaha sama antara anak syarikatnya Sime Singapore Ltd dan Galeon Group.
Beliau berkata, ia juga menandakan usaha niaga pertama Sime Darby Motors di Indonesia, sekali gus memberikan cabang automotif Sime Darby kehadiran segera di Jakarta dan Medan, melalui dua pengedar yang mewakili BMW dan MINI.
Katanya, ia turut akan menjadi batu loncatan untuk pengembangan usaha sama ke wilayah lain di Jawa dan Sumatera dengan kumpulan BMW berusaha mengembangkan rangkaian mereka di Indonesia, selain sebahagian daripada strategi Sime Darby untuk mengembangkan operasi motor di Asia Pasifik.
“Indonesia, sebagai sebuah negara yang mempunyai salah satu pasaran automotif terbesar di rantau ini selain mempunyai kelas pertengahan dan menengah atas yang besar serta berkembang pesat, adalah pasaran yang sangat penting bagi kami.
“Galeon, yang telah berkecimpung dalam perniagaan automotif sejak 1989, mempunyai kepakaran kritikal dan pemahaman tentang senario automotif tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden Direktor BMW Group Indonesia, Ramesh Divyanathan, berkata pihaknya mengalu-alukan kemasukan Sime Darby Motors ke dalam rangkaian pengedar BMW Group Indonesia dan perkongsiannya dengan Galeon Group.
“Ini adalah tanda keyakinan yang jelas terhadap kehadiran BMW Group Indonesia dengan prestasi jualan yang kukuh jenama BMW dan MINI dalam pasaran ini di mana kedua-duanya mencatat rekod baharu pada 2022,” katanya.