Tumpuan :
Detik Niaga

Sijil MoF: Lebih 60 peratus syarikat peroleh kelulusan serta-merta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lebih 60 peratus syarikat yang mendaftar pada program Daftar dan Lulus Sijil Kementerian Kewangan (MoF) yang diperkenalkan sejak 2022, berjaya dalam permohonan dan mendapat kelulusan serta-merta untuk memiliki Sijil MoF.

MoF dalam satu kenyataan hari ini berkata sijil yang sah untuk tempoh tiga tahun itu dikeluarkan oleh Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) dan Perbendaharaan Malaysia Sabah serta Perbendaharaan Malaysia Sarawak.

Menurut MoF, menerusi program itu, semua syarikat yang ingin mendapatkan Sijil Kewangan (Lesen MoF) boleh hadir dengan membawa dokumen yang lengkap.

“Setiap sesi program akan dihadiri pegawai pemproses dan pelulus dan syarikat akan dibantu untuk membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi sistem ePerolehan (eP).

Kelulusan serta-merta Sijil MoF ini boleh diperoleh jika permohonan syarikat memenuhi syarat yang ditetapkan. Bagaimanapun pada program ini, kelulusan serta merta tidak tertakluk untuk permohonan pendaftaran bagi bidang khas dan Bumiputera,” jelas MoF.

Menurut kementerian, pihak yang layak memiliki Sijil MoF adalah terdiri daripada syarikat berdaftar kategori enterprise, sendirian berhad, berhad mahupun badan koperasi.

Sementara itu, sebanyak 14 program Daftar dan Lulus telah diadakan pada tahun ini dan secara keseluruhannya, pelaksanaan program itu telah menerima sambutan yang amat baik daripada pihak syarikat.

Kementerian itu berkata ia yakin usaha tersebut membolehkan setiap syarikat menerima peluang yang sama dalam bersaing di pasaran perolehan kerajaan Persekutuan.

Loading...
Terkini