KUALA LUMPUR:Sidang Kemuncak Hartanah Asia PropertyGuru 2022 (ARES) menyarankan inovasi yang bertanggungjawab dan penciptaan semula adaptif bagi sektor hartanah dan teknologi.
Program sehari pada 8 Dis di Bangkok itu menumpukan langkah seterusnya sektor hartanah dan teknologi selepas berdepan dengan pandemik dan mengharungi cabaran sebenar iklim.
Pengarah Urusan bahagian Pasaran PropertyGuru Group Jeremy Williams berkata tema tahun ini ialah penciptaan semula adaptif.
“Kami memberi tumpuan kepada bagaimana bandar, komuniti dan persekitaran binaan kita mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dan bagaimana kami, penduduk dan pembangun persekitaran ini, boleh menggunakan amalan terbaik dan pengajaran dari masa lalu untuk membina komuniti masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan PropertyGuru Hari V. Krishnan berkata PropertyGuru telah beroperasi selama 15 tahun dan telah menandakan kejayaan itu dengan pelancaran penyelesaian perusahaannya PropertyGuru For Business untuk membimbing pelanggan seperti pemaju hartanah, agensi, bank, penilai, perancang bandar dan penggubal dasar.
“Adalah menjadi cita-cita kami untuk membawa ketelusan dalam perjalanan hartanah dan mewujudkan platform yang boleh dipercayai untuk pencari rumah dan rakan kongsi perniagaan kami,” katanya.
Dengan memanfaatkan kuasa bersepadu data pemilik, teknologi dan manusia, beliau berkata PropertyGuru menyasarkan untuk memperkasakan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan untuk membuat keputusan yang lebih bermaklumat.
Matlamatnya adalah untuk melengkapkan pelanggan dengan data, alatan dan maklumat yang betul agar dapat mengharungi keadaan ekonomi tidak menentu yang akan datang dan lebih bersedia untuk melayani pelanggan mereka, katanya.
Kira-kira 40 pakar global dari seluruh dunia mengeluarkan dan memperbaharui saranan untuk penyesuaian dan mitigasi dalam sektor hartanah dan teknologi yang berubah setelah pandemik COVID-19 dan pemanasan global.
Perbincangan dan pembentangan mencabar penonton untuk menggunakan pemikiran kritis dalam bidang kemampanan, keterangkuman, kepelbagaian dan kreativiti selepas pandemik. – BERNAMA