KUALA LUMPUR: Sentimen perniagaan bagi suku pertama tahun ini bertambah baik berikutan cabaran dialami syarikat yang berkurangan sedikit.
Menurut Indeks Keyakinan Perniagaan RAM-CTOS (BCI RAM-CTOS), keseluruhan BCI pada suku pertama 2023 meningkat kepada 51.4 daripada 46.2 pada suku sebelumnya.
BCI RAM-CTOS adalah kaji selidik komprehensif oleh RAM dan CTOS bermula pada suku pertama 2022 berkenaan sentimen perniagaan yang memandang ke hadapan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Indeks 50 itu menggariskan sentimen positif dan negatif. Walaupun sentimen merentas beberapa subindeks menunjukkan penambahbaikan, syarikat kekal pesimis terhadap prospek keuntungan mereka (bacaan subindeks: 40.4) dalam keadaan tekanan kos yang tinggi,” kata RAM Holdings Bhd dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CTOS Digital Bhd Erick Hamburger berkata pada suku pertama 2023, pelanggan CTOS PKS mengakses 30 peratus lebih banyak laporan perniagaan berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Perniagaan yang melaksanakan usaha wajar terhadap pelanggan baharu dan menilai semula pelanggan sedia ada adalah penunjuk baik bahawa mereka meningkatkan operasi dan produktiviti yang seiring dengan dapatan sentimen perniagaan BCI RAM-CTOS,” kata Hamburger.
“Kembalinya sentimen positif pada suku ini adalah isyarat baik kepada ekonomi memandangkan PKS memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Berkenaan pembentangan Belanjawan 2023 yang disemak semula baru-baru ini, kaji selidik itu menjelaskan belanjawan tersebut secara umumnya diterima baik oleh syarikat-syarikat responden dan mungkin menyumbang kepada sebahagian sentimen yang lebih baik dalam kaji selidik ini.
Kira-kira 30 peratus daripada syarikat yang menyertai kaji selidik itu berpandangan, pendekatan yang diambil dalam belanjawan tersebut akan membantu perniagaan mereka – angka yang jauh lebih tinggi berbanding sembilan peratus menerusi kaji selidik pada suku keempat 2022 terhadap soalan yang sama.
Antara langkah yang diambil dalam belanjawan yang disemak semula itu, iaitu yang terbesar dalam sejarah menerusi peruntukan sebanyak RM386.1 bilion itu adalah mengurangkan kadar cukai korporat dan pelbagai skim pinjaman untuk PKS mikro.
Sementara itu, hampir 80 peratus daripada 122 syarikat yang menyertai kaji selidik pada suku pertama 2023 menyatakan berdepan dengan kenaikan kos sebagai cabaran utama mereka. – BERNAMA