Tumpuan :
Detik Niaga

Selangor mampu sumbang 30 peratus KDNK Malaysia

Foto NSTP

SEPANG: Kerajaan Selangor optimis untuk menyumbang 30 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025 atau 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sasaran itu dipacu terutamanya daripada beberapa projek mega antaranya Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).

“Berdasarkan kemajuan semasa negeri, Selangor telah menyumbang kenaikan tahunan sebanyak 0.2 hingga 0.5 peratus. Peningkatan ini tanpa mengambil kira apa-apa inisiatif pembangunan ekonomi seperti IDRISS.

“Pada 2021, Selangor telah menyumbang 24.8 peratus kepada KDNK negara. Saban tahun sumbangan ini terus meningkat.”Projek baharu yang menarik seperti IDRISS misalnya, kami yakin ia mampu menyumbang antara satu hingga 1.2 peratus kepada KDNK dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di sini, hari ini..

NSIP adalah projek Taman Perindustrian Terurus (MIP) pertama Selangor dalam IDRISS.

NSIP adalah taman perindustrian yang dibangunkan oleh NCT Group of Companies (NCT Group) membabitkan keluasan keseluruhan 296.43 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion.

Projek yang dibangunkan menerusi tiga fasa itu dijangka menampilkan infrastruktur termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data terkini dan pelbagai kemajuan terkini lain dalam pendigitalan serta automasi dengan pembangunan keseluruhan 10 tahun.

Fasa pertama berkeluasan 93.08 haktar daripada tiga fasa pembangunan taman perindustrian itu akan terdiri daripada 101 unit dan 27 plot yang menampilkan kilang semi-D, kilang berkembar, kilang berkembar pautan dan plot perindustrian sehingga 20.23 hektar dengan anggaran GDV RM2 bilion dijangka siap menjelang suku keempat 2025.

Amirudin berkata, dengan suntikan projek seperti NCT Group dan IDRISS, ia dijangka bakal merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi.

“Kami yakin dapat merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi. Oleh itu, pertumbuhan Selangor akan meningkat dan sumbangan kami kepada KDNK negara juga akan meningkat,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini