Tumpuan :
Detik Niaga

Sektor Kewangan Islam Jadi Pengantara Dana RM146.6 bilion bagi 2020-2021

| Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR : Sektor kewangan Islam terus berkembang maju meskipun berdepan persekitaran mencabar global.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata institusi kewangan islam mengantara RM146.6 bilion pembiayaan, pelaburan dan deposit dalam inisiatif berkaitan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) antara tahun 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, kewangan berasaskan nilai masih di peringkat awal.

“Nampaknya, kita masih di peringkat awal. Banyak institusi kewangan, konvensional dan Islam masih belum melakukan perubahan penting ke atas cara mereka beroperasi dan menjalankan perniagaan untuk menyampaikan sepenuhnya kewangan berasaskan nilai.Lima tahun sejak pelancaran inisiatif VBI pada 2017, kebanyakan ahli Komuniti Pengamal hanya berada pada fasa ‘kemunculan’ bagi pelaksanaan.” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF 2022) pagi tadi.

Katanya lagi, usaha untuk mempelbagaikan modal berasaskan nilai seperti pendanaan usaha niaga baharu dan hasil sejajar dengan VBI lain adalah jauh daripada realisasi penuh.

Hanya 4.2 peratus daripada akaun pelaburan melibatkan bank-bank islam sebagai perantara, sesuai untuk membiayai transformasi.

VBI memberikan penekanan yang utuh pada nilai atau prinsip Syariah untuk menyokong keusahawanan dan pemerkasaan komuniti sambil turut membawa idea yang mantap seperti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Pelaburan Bertanggungjawab Sosial (SRI) dan Kewangan Beretika untuk mematuhi Syariah.

Loading...
Terkini