Tumpuan :
Detik Niaga

Segmen pinjaman PKS kekal pemacu utama AmBank

Datuk Sulaiman Mohd Tahir.- Foto: NSTP

PETALING JAYA: AmBank (M) Bhd (AmBank) menjangkakan segmen pinjaman bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan kekal mencatat pertumbuhan dua angka pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata ini juga sejajar dengan keupayaan bank itu yang secara konsisten mengekalkan pencapaian pertumbuhan dua angka bagi segmen pinjaman PKS sejak lapan tahun lalu.

“Tahun ini mungkin susut sedikit tetapi saya yakin ia akan kekal sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan AmBank.

“Saya juga yakin kami dapat mengekalkan pertumbuhan dua angka itu memandangkan PKS adalah sektor perniagaan penting bagi Malaysia, tidak kiralah dalam segmen makanan dan minuman, pembuatan, perkhidmatan dan lainnya,” katanya kepada pemberita selepas acara persidangan AmBank SME Bizconference di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, AmBank menyifatkan acara Bizconference itu sebagai platform yang menawarkan pengetahuan, peluang rangkaian serta liputan media kepada perniagaan yang mahu mencapai tahap baharu serta mentransformasi usaha masing-masing.

Program itu menampilkan trend-trend utama oleh penceramah dalam pembiayaan, agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), automasi pintar dan 5G.

Seramai 300 pemimpin PKS menghadiri acara yang turut mengetengahkan tiga perbincangan panel yang berkongsi pandangan, strategi serta amalan terbaik.

“Menerusi program ini, AmBank menyasarkan untuk menyediakan PKS Malaysia dengan pemahaman mengenai arah aliran utama untuk membantu mereka menjadikan perniagaan yang mampu bertahan sehingga ke masa depan,” katanya.

Persidangan itu juga menyediakan platform rangkaian untuk komuniti PKS serta membolehkan pemilik perniagaan berhubung dengan pakar bidang khusus serta pemimpin jenama tempatan yang berjaya di peringkat serantau dan global.

Loading...
Terkini