Tumpuan :
Detik Niaga

Laporan SC: SC lulus permohonan ekuiti lebih tinggi pada 2022, kumpul RM3.08 bilion daripada IPO

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)  meluluskan 16 daripada 20 permohonan ekuiti yang diterima pada 2022, lebih tinggi berbanding 13 kelulusan daripada 17 permohonan ekuiti pada 2021.

Enam daripada permohonan yang diluluskan itu membabitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM9.44 bilion, kata pengawal selia itu dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

“Jumlah dana yang diperoleh melalui IPO ini dianggarkan pada RM3.08 bilion.

“Baki permohonan yang diluluskan merangkumi dua cadangan pengambilalihan yang mengakibatkan perubahan ketara hala tuju atau dasar perniagaan dan lapan pemindahan penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama,” katanya.

SC berkata daripada jumlah 27 permohonan ekuiti untuk dipertimbangkan pada 2022, 18 telah dipertimbangkan, satu ditarik balik dan satu terluput kerana ia melebihi tempoh sah laku enam bulan dari tarikh penyerahan manakala tujuh lagi akan diputuskan pada 2023.

Terdapat 35 penyenaraian baharu pada 2022, dengan lima daripadanya berada di Pasaran Utama, 25 di Pasaran ACE dan lima lagi berada di Pasaran LEAP dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM11.15 bilion.

Jumlah dana yang dikumpulkan daripada penyenaraian baharu ini adalah kira-kira RM3.49 bilion, kata SC, sambil memetik bahawa ia juga mencatatkan 34 prospektus ekuiti, yang merangkumi 19 prospektus untuk IPO dan 15 prospektus ringkas.

Ketika menyentuh mengenai pasaran bon korporat dan sukuk, ia melaporkan jumlah terbitan telah mencecah RM153.32 bilion pada 2022, mewakili peningkatan 34.16 peratus berbanding RM114.28 bilion yang diterbitkan semasa 2021.

“Pada 2022, SC menerima 62 permohonan di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan selain meluluskan dua permohonan penerbitan bon korporat dan sukuk, berbanding 72 serah simpan yang diterima termasuk empat permohonan yang diluluskan pada 2021.

“Terbitan bon korporat dan sukuk denominasi ringgit terus membentuk majoriti cadangan yang diluluskan oleh/dikemukakan kepada SC dengan jumlah nilai nominal sebanyak RM187.27 bilion, yang mana 78.96 peratus atau RM147.87 bilion adalah sukuk,” katanya lagi

Tahun lepas, sebanyak 45 penarafan telah diberikan oleh agensi penarafan kredit kepada bon korporat denominasi ringgit dan terbitan sukuk yang diserahkan kepada SC, berbanding 63 penarafan yang diberikan pada 2021.

Bilangan terbitan tanpa penarafan telah menurun sebanyak 27.27 peratus berbanding 2021, tambahnya. – BERNAMA

Loading...
Terkini