Tumpuan :
Detik Niaga

SC, Bursa Malaysia ikrar lulus IPO lebih cepat

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd bersama-sama menyatakan komitmen untuk mempercepatkan tempoh kelulusan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE kepada tiga bulan.

Kedua-dua penyelia dan pengendali pasaran modal itu dalam satu kenyataan bersama berkata, komitmen itu terpakai untuk permohonan IPO baharu yang diterima mulai 1 Mac 2024.

“Komitmen untuk keputusan segera mengenai kelulusan dalam tempoh tiga bulan ini adalah bersandarkan penasihat utama dan penaja memberi jawapan yang memuaskan dalam tempoh lima hari pasaran bagi pertanyaan dan ulasan pengawal selia terhadap permohonan IPO.

“Ini di samping amalan pengawal selia sejak tahun 2021 di mana pertanyaan dan ulasan dikeluarkan dalam tempoh sepuluh hari pasaran berikutan permohonan IPO yang lengkap, serta mengutarakan pertanyaan dan ulasan seterusnya dalam tempoh lima hari pasaran untuk setiap pusingan maklum balas.

“Pengawal selia akan terus mengekalkan ketegasan dalam penilaian, tanpa menjejaskan perlindungan pelabur dan kepentingan awam,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, berikutan kerjasama yang lebih kukuh antara pengawal selia dan pemain industri untuk menawarkan garis masa yang lebih jelas untuk penyenaraian bagi pemohon IPO yang layak, pengawal selia berharap dapat menarik syarikat berkualiti untuk disenaraikan, terutamanya dalam sektor yang menyokong dasar pertumbuhan negara, pelan tindakan atau pelan hala tuju.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata pasaran modal ekuiti Malaysia kekal sebagai asas pembiayaan bagi syarikat, dengan IPO menjana dana sebanyak RM3.6 bilion pada tahun 2023.

“Kami percaya tempoh masa kelulusan ini mampu memenuhi keperluan perniagaan dinamik syarikat yang ingin mengumpul dana dalam pasaran modal, dan ia sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk kekal relevan dan berdaya saing kepada pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata masa ke pasaran yang lebih kompetitif akan meningkatkan daya tarikan bursa kepada syarikat yang ingin tersenarai di Malaysia.

“Kami berhasrat untuk menyediakan kemudahan holistik dan mesra pelanggan oleh pengawal selia dan penasihat utama/penaja, untuk memberi sokongan yang lebih baik kepada syarikat yang ingin mengumpul modal melalui IPO serta meningkatkan status sebagai syarikat tersenarai awam.

“Pasaran ekuiti bersedia menyokong kitaran pengumpulan dana dan pelaburan, bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini