comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Satu lagi syarikat tempatan, ALPS capai status unicorn

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta sejarah apabila sebuah lagi syarikat tempatan, ALPS Global Holding Bhd (ALPS) mencapai status unicorn.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata ALPS ialah syarikat bioteknologi berstatus unicorn pertama negara dan dijangka disenaraikan di Nasdaq pada suku keempat tahun ini dengan nilai perusahaan sekitar AS$1.6 bilion.

“Pencapaian ini memenuhi salah satu matlamat utama di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menyasarkan penciptaan tiga syarikat bio-inovasi dengan status unicorn menjelang 2030,” katanya semasa sidang media Jelajah Bioekonomi Kebangsaan 2024 hari ini.

Majlis Jelajah Bioekonomi Kebangsaan 2024 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ALPS ialah syarikat kedua yang mencapai status unicorn di Malaysia selepas Carsome Sdn Bhd yang mencapai status tersebut pada 2021.

Syarikat unicorn merujuk kepada syarikat pemula yang memiliki penilaian keseluruhan melebihi AS$1 bilion.

Dalam pada itu, kerjasama Majlis Jelajah Bioekonomi Kebangsaan 2024 yang terjalin daripada majlis itu termasuk pertukaran 11 memorandum persefaham dengan nilai anggaran RM1.5 bilion, menjadi antara penggerak industri bioteknologi.

Ini menunjukkan perkembangan industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia yang semakin matang dan berdaya saing di peringkat global.

“Melalui sokongan MOSTI, lebih daripada 520 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio telah diberikan fasilitasi oleh Bioeconomy Corporation, termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA), serta syarikat yang terlibat dalam projek-projek bioteknologi berimpak tinggi di Malaysia.

“Secara kumulatif, semua syarikat ini telah merekodkan pencapaian yang amat memberangsangkan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM14.3 bilion dan menyumbang kepada pendapatan enkonomi negara sebanyak RM37.5 bilion,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata pengiktirafan ALPS sebagai sebuah unicorn akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang bioteknologi di rantau ini, khususnya sektor penjagaan kesihatan.

“Penciptaan unicorn dalam industri bioteknologi juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan bakat di kalangan rakyat serta meningkatkan keupayaan pekerja tempatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini