comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sarawak, Sabah bakal terima belanja pembangunan lebih besar

Sabah dan Sarawak mencatatkan peruntukan masing-masing bernilai RM5.4 bilion dan RM6.3 bilion dalam pembentangan awal Belanjawan 2023 pada Oktober 2022.

KUALA LUMPUR: Kehadiran blok Borneo yang menonjol dalam Kerajaan Perpaduan berkemungkinan mendatangkan kesan baik dari segi perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi untuk Sarawak dan Sabah, menjelang pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata kedua-dua negeri itu Malaysia Timur mencatatkan peruntukan masing-masing bernilai RM5.4 bilion dan RM6.3 bilion dalam pembentangan awal Belanjawan 2023 pada Oktober 2022.

“Setakat 20 Januari lalu, kerajaan sudah memberi kelulusan awal terhadap peruntukan tambahan bernilai RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak.

“Walau bagaimanapun, rata-rata peruntukan ini mungkin akan disalurkan kepada kontraktor bersaiz lebih kecil yang bukan senaraian awam,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini mengumumkan bahawa Belanjawan 2023 akan dirombak daripada banyak aspek dan akan diberi asas baharu sambil masih menerapkan beberapa cadangan yang ada daripada versi sebelumnya.

Oleh hal demikian, Adam berkata belanjawan yang dirombak ini bakal mengalami semakan menurun atau mendapat peruntukan semula daripada nilai perbelanjaan pembangunan RM95 bilion yang diperuntukkan sebelum ini.

“Oleh itu, kami lebih menyukai kontraktor yang mempunyai pendedahan terhad kepada projek-projek berkaitan kerajaan. Saranan ‘neutral’ dikekalkan buat sektor ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah nilai tawaran projek pada 2022 ialah sebanyak MYR134.5 juta, manakala bilangan projek yang dianugerahkan turun 16.5 peratus berbanding 2021 iaitu sebanyak 11,163.

Katanya, setelah meneliti dengan lebih lanjut, nilai projek kerajaan dilihat berada 15 peratus lebih rendah pada MYR37.4 juta untuk 2022, manakala nilai projek swasta sembilan peratus lebih tinggi pada MYR97.1 juta.

“Hal ini menandakan kerja-kerja berkaitan kerajaan dilaksanakan dengan lembap dan ia biasanya membabitkan kerja-kerja infrastruktur,” katanya.

Sehingga 24 Januari, RM1.2 bilion projek swasta sudah dianugerahkan setakat ini pada 2023 berbanding dengan RM200 juta tawaran projek kerajaan semasa tempoh yang sama.

Adam berkata, dengan mempertimbangkan risiko pada projek-projek infrastruktur awam, RHB Investment Bank mengesyorkan supaya pelabur menumpu kepada kontraktor yang mula menceburi jenis-jenis kerja baharu, seperti pusat data dan perindustrian.

Beliau berkata, hartanah perindustrian dijangka merekodkan pertumbuhan yang lebih baik, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan China, sekali gus dapat menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

“Kami berpandangan kontraktor-kontraktor seperti Kerjaya Prospek dan Sunway Construction memenuhi kriteria strategi yang disebut di atas. Oleh itu, mereka dikenal pasti sebagai pilihan utama sektor ini.

“Bagi Kerjaya Prospek, sebabnya ialah aturan rangka kerja dengan Samsung C&T yang membolehkannya untuk meraih lebih banyak kerja perindustrian. Hal ini disokong oleh simpanan tunai bersih syarikat.

“Sunway Construction dipilih disebabkan oleh matlamatnya untuk menceburi kerja pembinaan pusat data tempatan yang biasanya dikuasai oleh kontraktor swasta asing seperti Takenaka Corp,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini