Tumpuan :
Detik Niaga

Sapura Energy diberi lanjutan masa kemuka pelan regularisasi PN17

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd diberikan lanjutan masa sehingga 30 Nov, 2023, untuk mengemukakan pelan regularisasi Nota Amalan 17 (PN17) kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

Penasihat prinsipalnya, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan bagi pihak syarikat tersebut bahawa Bursa Malaysia Securities telah memberikan lanjutan itu kepada Sapura Energy melalui suratnya bertarikh 12 Jun 2023.

“Lanjutan masa diperlukan memandangkan keseluruhan pelan penstrukturan semula syarikat yang rumit. Usaha penstrukturan semula hutang Sapura Energy, yang menyokong strategi regularisasinya, sedang berjalan lancar,” katanya.

Pada awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Malaya memberikan Sapura Energy dan 22 anak syarikat milik penuhnya tempoh lanjutan selama sembilan bulan bagi Perintah Sekatan dan Pertemuannya sehingga 10 Mac 2024.

Lanjutan itu akan membolehkan Sapura Energy memuktamadkan skim yang dicadangkan dengan pembiayanya dan pemiutang lain sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula hutangnya.

Perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah itu membolehkan setiap syarikat bermesyuarat dengan pemiutang yang dijangka diadakan pada akhir Oktober 2023.

Loading...
Terkini