Tumpuan :
Detik Niaga

Samsung Electronics lantik Lee Young Hee wanita pertama jadi presiden

Lee Young Hee

SEOUL: Samsung Electronics Co pada Isnin melantik seorang eksekutif wanitanya ke jawatan presiden pemasaran global bagi perniagaan mudah alih, langkah pertama dalam memanfaatkan bakat golongan itu dalam jawatan tertinggi, lapor Yonhap.

Lee Young Hee dilantik sebagai Presiden Pusat Pemasaran Global bahagian Device eXperience (DX) Samsung.

Pelantikan itu menjadikan beliau wanita pertama yang bukan dalam kalangan ahli keluarga pengasas, menyandang jawatan presiden di Samsung, konglomerat terbesar Korea Selatan.

Lee Boo-jin, anak perempuan pertama mendiang Pengerusi Samsung Electronics Lee Kun-hee, kini berkhidmat sebagai presiden dan ketua eksekutif Hotel Shilla, sebuah syarikat gabungan Samsung.

Lee Young-hee menyertai gergasi teknologi itu pada 2007 dan dinaikkan pangkat sebagai naib presiden pada 2012. Beliau yang sebelum itu berkhidmat di L’Oreal, adalah eksekutif yang berjaya mempromosi imej dan jenama telefon mudah alih Samsung Galaxy.

Samsung menjangkakan pelantikan itu akan mendorong pekerja wanita lain yang berbakat untuk mencabar diri dan meningkatkan kerjaya mereka.

Beliau adalah antara tujuh presiden baharu dalam rombakan korporat berskala kecil yang dijalankan buat pertama kali sejak ketua de facto kumpulan itu Lee Jae-yong dinaikkan pangkat sebagai pengerusi eksekutif syarikat pada Oktober.

Samsung tidak melantik ketua baharu untuk unit perkakas rumahnya sejak Lee Jae-seung meletak jawatan pada Oktober atas “sebab peribadi”.

Naib pengerusi dan CEO bersama di Samsung Han Jong-hee akan terus memikul tugas tambahan itu, menurut Samsung. – BERNAMA

Loading...
Terkini