KUALA LUMPUR: Saiz pasaran modal Malaysia meningkat kepada RM3.6 trilion pada 2022 berbanding RM3.5 trilion pada 2021 yang mana penurunan dalam permodalan pasaran ekuiti dimbangi oleh sekuriti hutang belum tebus yang lebih tinggi, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
SC berkata, pasaran modal negara kekal berdaya tahan dan teratur pada 2022 dalam keadaan prospek ekonomi global yang semakin pesimis dan situasi kewangan global yang lebih ketat.
Manakala pasaran modal domestik terus memainkan peranan pentingnya dalam membiayai aktiviti ekonomi dan pengantaraan tabungan.
“Jumlah dana yang dikumpul dalam pasaran modal meningkat kepada RM179.4 bilion pada 2022 (2021: RM131.3 bilion), yang mana RM26.0 bilion diperoleh melalui pasaran ekuiti, manakala RM153.3 bilion diterbitkan melalui pasaran bon korporat.
“Demikian juga dengan saluran pengumpulan dana alternatif melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti dan pembiayaan antara rakan setara, yang meningkat dalam 2022, dan terus menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” kata suruhanjaya itu dalam Laporan Tahunan Sekuriti Malaysia 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, industri pengurusan dana mengalami penilaian pasaran yang melemah dan penebusan bersih pada 2022, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM906.5 bilion (2021:RM951.1 bilion).
Sementara itu, SC berkata, pada 2022 pasaran ekuiti domestik terjejas oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik.
Permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan FBMKLCI masing-masing menyederhana kepada RM1.74 trilion dan RM1.03 trilion pada 2022 (2021: masing-masing pada RM1.79 trilion dan RM1.04 trilion).
Indeks FBMKLCI turut merosot sebanyak -4.6 peratus dan mengakhiri tahun 2022 pada 1,495.49 mata.
Dari segi penyertaan perdagangan, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih dengan jumlah sebanyak -RM6.53 bilion pada 2022.
Sehubungan itu, segmen bukan pemastautin menjadi pembeli bersih, setelah menjadi penjual bersih selama empat tahun berturut-turut, dengan jumlah belian bersih berjumlah RM4.40 bilion (2021: -RM3.15 bilion), manakala belian bersih oleh pelabur runcit tempatan berjumlah RM2.13 bilion.
Dari segi nilai yang didagangkan, kadar penyertaan pelabur runcit menurun kepada purata 25.7 peratus pada 2022 (2021: 34.6 peratus), tetapi kekal melebihi purata lima tahun pra-pandemik sebanyak 18.8 peratus.
Sementara itu, purata volum dagangan harian juga menyederhana kepada 3.00 bilion pada 2022 (2021: 5.85 bilion), bernilai purata RM2.18 bilion sehari (2021: RM3.66 bilion).
“Dalam pasaran bon Malaysia, jumlah bon dan sukuk belum tebus meningkat kepada RM1.9 trilion pada 2022 daripada RM1.7 trilion pada 2021, mencerminkan tahap pengumpulan dana bon dan sukuk yang lebih tinggi dalam pasaran.
“Keseluruhan keluk hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) beralih ke aras yang lebih tinggi, menjejaki pergerakan pasaran bon global. Ini didorong oleh jangkaan normalisasi dasar monetari yang berterusan di peringkat global dan domestik, memandangkan tekanan inflasi yang tinggi,” kata Suruhanjaya Sekuriti. – BERNAMA