comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Saiz dana KWAP cecah RM184.5 bilion

KUALA LUMPUR: Saiz dana kasar Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencecah RM184.5 bilion sejak ditubuhkan pada 2007 sehingga Julai 2023, demikian menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau menjelaskan, portfolio pelaburan dana pencen nasional itu membabitkan 40 peratus dalam ekuiti awam, 40 peratus dalam pendapatan tetap, manakala pelaburan dalam hartanah dan ekuiti swasta, masing-masing dengan 10 peratus.

“Nisbah pelaburan KWAP setakat ini adalah membabitkan 80 peratus dalam negara, manakala 20 peratus diluar negara,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Pencarum KWAP 2023 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.

Ahmad berkata, kerajaan berharap KWAP sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dapat melaksanakan penambahbaikan bagi meningkatkan saiz dana dan pelaburan, seterusnya dapat menyumbang pembayaran dividen kepada kerajaan yang lebih baik.

“Kita mengharapkan jawatankuasa pelaburan KWAP dapat melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk meningkatkan jumlah pelaburan agar dividen kepada kerajaan dapat bertambah.

“KWAP juga perlu merapatkan hubungan antara GLIC itu bersama pesara sebagaimana ‘tagline’ Teman Pesara Anda. KWAP juga perlu melancarkan lagi hubungan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi perkongsian pangkalan data yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, KWAP menyasarkan untuk meningkatkan saiz dana kasar kepada RM200 bilion menjelang 2025 dengan penempatan asetnya akan menjadi 80 peratus dalam pasaran awam dan 20 peratus dalam pasaran persendirian menjelang 2025.

KWAP juga menetapkan sasaran mencapai pulangan tahunan sebanyak tujuh peratus menjelang 2025 berbanding enam peratus ketika ini.

Fokus pelaburan KWAP membabitkan empat elemen iaitu pelaburan dalam jaminan keselamatan,tenaga boleh diperbaharuai (RE), perkhidmatan penjagaan warga emas dan sektor perbankan.

Setakat Julai 2023, jumlah pecahan dana caruman KWAP berada pada RM57.4 bilion, merangkumi RM15.3 bilion atau 27 peratus daripada kerajaan Persekutuan; syer kerajaan RM25.8 bilion (45 peratus) dan caruman majikan mewakili badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan pegawai kerajaan yang dipinjamkan sebanyak RM16.3 bilion (28 peratus).

Jumlah majikan yang mencarum di bawah KWAP adalah 482 merangkumi 192 badan berkanun, 151 pihak berkuasa tempatan dan 139 pegawai kerajaan yang dipinjamkan.

Setakat 31 Disember 2022, terdapat 768,947 penerima pencen merangkumi 73 peratus pesara dan baki 27 peratus adalah penerima pencen terbitan (isteri/anak).

Jumlah keseluruhan kakitangan yang ditanggung oleh majikan yang mencarum adalah 177,000 orang setakat Julai 2023.

Loading...
Terkini