Oleh Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), NationGate Holdings membuat penyenaraian sulung yang kukuh di pasaran ACE, apabila dibuka pada harga 81 sen sesaham.
Ia melonjak 113.2 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO), 38 sen sesaham.
Pada loceng pembukaan, kaunter melihat 65.81 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Urusan, Ooi Eng Leong berkata “Kami amat gembira dengan prestasi kaunter pada loceng pembukaan. Kami memang menjangka premium pada loceng pembukaan namun kami tidak jangka ia akan melonjak ke paras ini. Sudah tentu kami gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang adalah testimoni kepada keyakinan orang ramai terhadap model perniagaan dan rancangan perniagaan NationGate.”
“Penyenaraian itu akan memudahkan NationGate dengan (sumber) kewangan yang lebih besar untuk mengejar peluang pertumbuhan dan meningkatkan reputasi dalam pemasaran perkhidmatan kami untuk mengembangkan pangkalan pelanggan, selain mengekalkan dan menarik profesional berpengalaman dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) ,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian hari ini.
NationGate memperoleh RM165.5 juta daripada IPO ini, menjadikannya penyenaraian terbesar di pasaran ACE.
NationGate mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM788.1 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 2.1 bilion saham.
Sejak tiga tahun lalu, NationGate menyaksikan peningkatan tempahan daripada segmen rangkaian dan telekomunikasi, pengkomputeran data, automotif dan semikonduktor ekoran penggunaan rangkaian 5G yang meluas dan permintaan tinggi untuk kenderaan elektrik (EV).
Setakat 14 November lalu, NationGate mempunyai RM369.5 juta pesanan pembelian yang belum dibilkan yang akan dibilkan semasa penyerahan secara progresif dalam tempoh 12 bulan akan datang.