KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd melantik semula Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah sebagai Pengerusi Eksekutif, berkuat kuasa 20 Julai, 2023.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Ruben, 46, menyandang semula jawatan itu bagi menggantikan bapanya, Tan Sri Gnanalingam Gunanath Lingam yang meninggal dunia.
Sebelum ini, Ruben pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Makmal.Com sebelum kembali ke syarikat pengendalian pelabuhan itu sebagai pengarah di lembaga pengarah pada 2005, dan kemudian dinaikkan pangkat kepada jawatan pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutif kumpulan.
Ruben menerima pendidikan di Eton College (A Level), sebelum menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Sains dalam bidang Ekonomi di London School of Economics dan Political Science serta melengkapkan program Leadership Development di Harvard Business School.
Beliau kini memegang 105.64 juta saham atau 3.1 peratus kepentingan tidak langsung dalam syarikat itu.
Setakat 11 pagi, saham Westports turun satu sen atau 0.27 peratus kepada RM3.64 dengan 3,900 saham bertukar tangan.
BERNAMA