
Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperkenalkan satu geran padanan latihan industri bernilai RM30 juta di bawah Talent Corp bagi mendorong pengambilan pelatih industri atau “intern” dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif geran padanan latihan industri untuk PKS atau LiKES ini, dijangka memberi manfaat kepada 30,000 pelatih industri dalam tempoh tiga tahun.
“Saya yakin dengan adanya geran padanan LiKES mungkin kita akan mendapat sekurang-kurangnya syarikat yang lebih kecil, atau syarikat yang bertempat contohnya di Pantai Timur mempunyai peluang yang lebih banyak untuk melaksanakan program amali.”
Inisiatif LiKES bersama Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) akan memastikan kesediaan kerja dan menawarkan elaun semasa tempoh latihan.
Majikan juga boleh menggunakan sehingga 50% daripada baki levi mereka dalam Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) untuk Skim Latihan Perindustrian (ITS), mulai tahun ini.
Had siling untuk elaun latihan bulanan yang boleh dituntut untuk setiap pelatih di bawah skim ITS juga telah dihapuskan.
Geran padanan LiKES merangkumi tempoh latihan sehingga 6 bulan dan dibuka untuk permohonan oleh PKS dan syarikat pemula yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pemohon yang berkelayakkan perlu untuk menawarkan penempatan latihan sekurang-kurangnya selama 10 minggu dan menyediakan elaun minimum latihan industri yang digariskan.
Bagi pelajar yang mengikuti pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3, Diploma, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), elaun minimum adalah sebanyak RM500.00 sebulan, di mana TalentCorp akan membayar semula kepada majikan RM250.00 sebulan.
Bagi pelajar yang mengikuti Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia (DLKM), Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Sijil Profesional, elaun minimum yang perlu dibayar ialah RM600.00 sebulan, dan TalentCorp akan membayar semula RM300.00 sebulan.
Dalam pada itu, Steven Sim juga memaklumkan bahawa satu sesi libat urus kini giat dijalankan untuk membangunkan dasar latihan industri nasional.
Ianyaakan menjadi garis panduan bagi majikan yang mengambil pelatih.
“Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp bekerjasama dengan industri dan akademia untuk membangunkan garis panduan bagi majikan untuk mengutamakan peningkatan kemahiran dan kebajikan pelajar latihan industri.”
Jelas beliau, usaha ini akan diterjemah di dalam Dasar Sumber Manusia Negara yang akan diumumkan kelak bagi membolehkan majikan menguruskan program latihan industri mereka dengan lebih bertanggungjawab.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.