comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit tunggu perkembangan inflasi di AS, OPR

KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur diniagakan dalam mod berkecuali kepada positif sekitar RM4.70 hingga RM4.71 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan ketika pasaran dijangka menumpukan keterangan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell di Kongres negara maju itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan itu penting bagi mendapatkan petunjuk mengenai penilaian terkini Fed ke atas risiko inflasi.

“Pada masa sama, ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) akan membincangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 11 Julai ini dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan kadar itu kekal pada 3.00 peratus,” katanya kepada Bernama.

Perkembangan itu, kata Mohd Afzanizam, sedikit sebanyak menyuntik kelebihan sekiranya pihak Fed didapati mula mengurangkan kadar faedah utama manakala BNM mengekalkan pendirian dan menjurus kepada perbezaan kadar faedah yang lebih kecil antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan prospek ringgit yang positif pada minggu depan, walaupun sesetengah pelabur mungkin masih memilih dolar AS selagi Donald Trump mendahului tinjauan pendapat berkaitan pemilihan presiden negara itu.

“Di peringkat tempatan, ringgit mungkin kekal disokong oleh dasar BNM dan prospek makroekonomi yang lebih positif dengan syarat jualan runcit dan Indeks Pengeluaran Perindustrian kekal kukuh,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya meningkat ketika data ekonomi AS yang lebih lemah menyaksikan mata wang negara membangun, termasuk ringgit mengukuh berbanding dolar AS.

Pada awal minggu ini, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan ringgit meningkat pada separuh kedua 2024 dan mengakhiri tahun ini dengan lebih kukuh pada RM4.43 berbanding dolar AS ketika pihak Fed semakin menghampiri langkah menurunkan kadar faedah.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat ke paras 4.7065/7110 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190, seminggu lalu.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ini termasuk susut berbanding pound Britain kepada 6.0182/0240 daripada 5.9639/9676 pada minggu lalu, rendah berbanding euro pada 5.0953/1001 daripada 5.0494/0526 namun mengukuh berbanding yen Jepun pada 2.9286/9315 daripada 2.9345/9365.

Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.05 daripada 8.05/8.05 seminggu sebelumnya dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.1/289.5 daripada 287.9/288.3.

Berbanding dolar Singapura, ringgit turun ke paras 3.4876/4912 daripada 3.4792/4816 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8646/8818 daripada 12.8508/8646 pada Jumaat minggu lalu.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini