comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit terus meningkat disokong oleh sentimen positif

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkat minggu lalu, dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, disokong oleh sentimen positif yang berterusan terhadap mata wang tempatan, kata penganalisis.

Pada 8.04 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1150/1280, naik daripada 4.1230/1280 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka kekal positif walaupun sebahagian peniaga mungkin mengambil peluang untuk menyimpan keuntungan berikutan kenaikannya baru-baru ini.

Di peringkat global, katanya terdapat petunjuk ekonomi yang bercampur-campur dari Amerika Syarikat (AS).

Indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) utama sederhana kepada 2.2 peratus pada Ogos manakala PCE teras kekal stabil pada 2.7 peratus.

Walaupun sedemikian, Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka mengekalkan strategi pelonggaran dasar monetarinya pada November dan Disember.

“Oleh itu, tumpuan pada minggu ini adalah kepada data AS, termasuk Indeks ISM untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan serta beberapa petunjuk utama pasaran buruh seperti Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Perolehan Tenaga Kerja (JOLTS), perubahan pekerjaan ADP dan senarai gaji bukan ladang (NFP),” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, paras sokongan segera untuk ringgit adalah pada RM4.0728 dengan mata wang tersebut berpotensi bergerak ke arah paras tersebut.

Ringgit diniagakan kebanyakannya kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8833/8926 daripada 2.8804/8841 pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding euro kepada 4.5960/6106 daripada 4.6009/6064 dan naik berbanding pound kepada 5.5063/5237 daripada 5.5178/5245 minggu lalu.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2136/2240 daripada 3.2146/2187 pada Jumaat lepas dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.34/7.37 daripada 7.35/7.37.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.0/273.0 daripada 272.5/273.0 minggu lepas dan naik kepada 12.7045/7553 daripada 12.7202/7407 berbanding baht Thailand sebelum ini.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini