comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada awal dagangan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga pada Rabu dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), biarpun sentimen berhati-hati ketara susulan perkembangan ekonomi global.

Kerugian yang dicatat baru-baru ini pula menyebabkan pelabur beralih kepada mata wang negara sedang pesat membangun.

Pada 8.20 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.3245/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3255/3305 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka tidak berubah berbanding dolar AS berikutan sentimen berhati-hati.

Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat dengan menokok sebanyak 0.05 peratus kepada 104.06 mata.

Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Dunia, bertindak menurunkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun depan sebanyak 0.1 kepada 3.2 peratus atas alasan keadaan geopolitik dan dasar perlindungan perdagangan sebagai penyebab semakan itu.

“Mungkin juga pasaran menjadi lebih terkawal dalam tempoh memasuki pilihan raya presiden AS pada 5 November ini, terutama dalam bidang berkaitan dasar-dasar perdagangan oleh calon yang juga bekas presiden, Donald Trump,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, sesi urus niaga awal menyaksikan ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8588/8692 daripada 2.8668/8704, naik berbanding euro kepada 4.6683/6850 daripada 4.6785/6839 semalam namun susut berbanding pound Britain kepada 5.6115/6316 daripada 5.6097/6162 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN iaitu meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8924/12.9440 daripada 12.9089/9300 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 277.7/278.9 daripada 277.8/278.3 semalam.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.2846/2966 daripada 3.2879/2919 sebelum ini namun hampir mendatar berbanding peso Filipina pada 7.47/7.50 daripada 7.47/7.49 sebelum ini.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini