KUALA LUMPUR: Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS, dibuka tinggi pada hari dagangan pertama minggu ini, walaupun musim cuti panjang yang berterusan menyaksikan ramai pelabur tidak memasuki pasaran, kata seorang penganalisis.
Pada 9.05 pagi, ringgit naik kepada 4.6145/6205 berbanding dolar AS daripada 4.6265/6305 pada Jumaat.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik, berdasarkan prospek inflasi yang rendah di Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan pelonggaran dasar seterusnya oleh bank-bank pusat G10.
“Walaupun sesi dagangan hari ini dijangka tenang (disebabkan cuti panjang), saya menjangka ringgit akan menunjukkan kecenderungan meningkat walaupun mencatatkan kenaikan yang mungkin mencabar melainkan wujud pemangkin yang tidak dijangka melebihi momentum semasa untuk jangkaan pengurangan kadar faedah AS.
“Pelabur turut diberikan ‘hadiah’ dalam bentuk laporan inflasi yang lebih sederhana oleh Rizab Persekutuan AS pada Jumaat lepas.
“Bagaimanapun, berdasarkan pasaran telah mengambil kira pengurangan 150 mata asas, respons dalam pasaran pertukaran asing (FX) agak kurang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.