KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan permintaan kukuh yang semakin meningkat terhadap mata wang negara maju itu susulan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah pada tahap semasa.
Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.6825/6850 berbanding dolar AS daripada 4.6785/6835 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran turut mempertimbangkan sama ada Fed akan mengubah pendiriannya susulan data Indeks Harga Pengguna teras AS yang lebih rendah.
“Walau bagaimanapun, dolar AS adalah lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama iaitu euro Eropah dan Swiss Franc.
“Sentimen mungkin dipengaruhi oleh yen Jepun, yang kekal tertekan berbanding dolar AS walaupun kenyataan cenderung kepada kadar faedah tinggi oleh Gabenor Bank of Japan hujung minggu lepas,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.