KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM4.25 sedolar menjelang akhir 2025, menurut unjuran CGS International.
Ahli Ekonominya, Mas Aida Che Mansor, berkata pengukuhan ini disokong oleh penurunan jurang perbezaan kadar faedah antara AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia, meskipun terdapat ketidaktentuan ekonomi global yang boleh menyokong dolar AS.
“Ringgit dijangka mengukuh daripada RM4.40 sedolar pada akhir 2024 kepada RM4.25 sedolar menjelang akhir 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.
Namun, beliau memberi amaran bahawa terdapat risiko kelemahan terhadap nilai ringgit, termasuk kemungkinan perubahan nada dasar monetari AS yang kurang ‘dovish’, serta penyesuaian jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Selain itu, perubahan dalam selera pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) terhadap penghantaran pulang dan penukaran hasil mata wang asing juga boleh menjejaskan prestasi ringgit.
Sementara itu, Mas Aida menjangkakan OPR akan kekal pada paras semasa 3.00 peratus sehingga akhir 2025, dengan dua faktor bertentangan mempengaruhi hala tuju dasar monetari negara.
“Di satu sisi, tekanan inflasi berpotensi meningkat susulan cadangan kenaikan cukai dan rasionalisasi subsidi bahan api. Walaupun ia bersifat inflasi yang didorong kos, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengambil pendirian lebih ‘hawkish’ jika tekanan inflasi ini berpanjangan,” katanya.
Bagaimanapun, risiko kenaikan tarif dan kesan negatifnya terhadap pertumbuhan ekonomi boleh mendorong BNM untuk bersikap lebih ‘dovish’.
Beliau turut mengimbas tindakan BNM pada 2019 yang mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus akibat ketidaktentuan disebabkan perang perdagangan AS-China.
“Buat masa ini, kami melihat risiko terhadap perubahan dasar kekal seimbang di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.
Ramalan ini memperlihatkan langkah berhati-hati dalam pengurusan dasar monetari, dengan tumpuan diberikan untuk menyeimbangkan antara sokongan pertumbuhan ekonomi dan pengurusan inflasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.