KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu selepas dolar AS kembali rendah, apabila harapan terhadap penurunan kadar faedah mulai tahun depan muncul, kata penganalisis.
Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6570/6605 berbanding dolar AS daripada 4.6760/6805 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan indeks ekuiti utama di peringkat global menunjukkan wujudnya minat risiko apabila jangkaan terhadap penurunan Kadar Dana Rizab Persekutuan AS tahun depan memperoleh momentum.
“Ini berlaku walaupun pegawai Fed memberikan petunjuk bercampur-campur, di samping statistik perumahan mula dibina yang lebih baik berbanding jangkaan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pelabur mungkin memberi perhatian kepada data Keyakinan Pengguna AS bagi Disember yang akan dikeluarkan.
“Petunjuk ini mengukur trend penggunaan isi rumah dan ia penting untuk memahami cara inflasi yang mungkin meningkat pada beberapa bulan akan datang.
“Sekiranya inflasi meningkat, ia mungkin memaksa Rizab Persekutuan AS mengambil pendirian kadar faedah yang lebih tinggi dan itu boleh menggalakkan pengukuhan dolar dalam jangka masa panjang,” katanya.