![](https://media.buletintv3.my/2023/01/nP6NvGUf-pp-cms-11.jpg)
KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kalangan peniaga kekal memberi tumpuan terhadap mata wang negara maju itu selain data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Perkembangan inflasi itu membayangkan kemungkinan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan langkah menaikkan kadar faedah, sekali gus melenyapkan jangkaan penurunan kadar faedah pada Jun ini.
Pada 9 pagi ini, ringgit turun kepada 4.7695/7735 berbanding dolar AS daripada 4.7455/7500. yang dicatatkan pada Selasa lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) melepasi paras 105 mata susulan pengumuman laporan inflasi AS pada Mac yang mencatatkan 3.5 peratus berbanding jangkaan 3.4 peratus.
“Segelintir ahli ekonomi telah menjangkakan pengurangan kadar faedah dalam tempoh menuju suku akhir tahun ini.
“Dolar AS dijangkakan kekal positif dalam jangka pertengahan yang menyaksikan ringgit diasak tekanan memandangkan perbezaan kadar antara AS dan Malaysia yang ketara,” katanya kepada Bernama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.