comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Jumaat ketika unit negara maju itu meneruskan pengukuhannya selepas bank pusat terus memaparkan pendirian yang cenderung kepada kenaikan kadar faedah.

Pada masa sama, data ekonomi terkini AS pula terus menunjukkan ekonomi di landasan kukuh walaupun berlakunya inflasi, sekali gus membayangkan kenaikan kadar faedah utama untuk tempoh lebih lama, kata penganalisis.

Setakat jam 9 pagi, ringgit susut ke paras 4.7875/7910 berbanding dolar AS daripada 4.7840/7870 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang terus mempertahankan kenaikan kadar faedah, terbukti terus mendorong kenaikan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 106.151 mata daripada 105.951 mata pada hari sebelumnya.

“Presiden Fed New York John Williams, ketika ditanya mengenai kemungkinan kadar faedah itu dinaikkan, berkata kemungkinan itu tidak dapat ditolak jika keadaan wajar untuk bertindak sedemikian,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata perkembangan itu juga menyaksikan kertas Perbendaharaan dua tahun AS meningkat kepada 4.99 peratus daripada 4.93 peratus manakala hasil 10 tahun naik empat mata asas kepada 4.63 peratus.

Sehubungan itu, katanya, pendirian tegas Fed serta data ekonomi yang kukuh menjadi faktor gabungan bagi lonjakan dolar AS.

Namun, dari sudut teknikal, DXY berada dalam keadaan terlebih beli yang dijangka disusuli dengan pembetulan teknikal.

“Ringgit juga sudah berada dalam kedudukan terlebih jual yang turut membayangkan pembetulan teknikal akan berlaku. Namun, oleh kerana pasaran bimbang dengan prospek kadar faedah AS, ringgit dijangka kekal dalam julat kecil berbanding dolar AS,” katanya.

Selain itu, beliau berkata unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk Malaysia pada hari ini dapat menyuntik sedikit sokongan kepada ringgit sekiranya lebih baik dalam tempoh tiga bulan pertama 2024.

Bagaimanapun, jika jangkaan 3.9 peratus itu menjadi kenyataan, pertumbuhan akan jauh lebih baik daripada 3.0 peratus dalam suku sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ini termasuk meningkat berbanding euro kepada 5.0929/0967 daripada 5.1050/1082, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0963/0988 daripada 3.0980/1002 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.9499/9543 daripada 5.9671/9708.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean kecuali rupiah Indonesia.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9855/9996 daripada 13.0053/0188 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5127/5156 daripada 3.5176/5201.

Ringgit juga meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.34/8.35 daripada 8.36/8.37 namun rendah berbanding rupiah Indonesia pada 295.8/296.2 daripada 295.6/296.0.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini