KUALA LUMPUR : RHB Research positif terhadap unjuran perbelanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebanyak RM300 bilion.
Syarikat minyak dan gas negara itu telah memperuntukkan perbelanjaan modalnya untuk 2023-2027 sebanyak RM300 bilion atau secara purata RM60 bilion setahun, iaitu peningkatan 43 peratus daripada RM208.5 bilion dalam tempoh lima tahun sebelumnya, atau RM41.7 bilion setahun.
Peningkatan dalam capex adalah untuk menampung pelaburan tambahan dalam perniagaan teras, tenaga bersih dan mengurangkan pelepasan.
“Kami positif terhadap capex Petronas sebanyak RM300 bilion. Unjuran harga minyak mentah 2023-2024 kami masih pada US$88-80 setong,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
Memetik penyelidikan bebas dan risikan perniagaan Rystad Energy, RHB Research berkata di peringkat global, capex bagi medan yang belum diterokai secara tahunannya melepasi paras US$100 bilion pada 2022 dan terus berkembang pada 2023 dan 2024.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan “overweight” ke atas sektor minyak dan gas (O&G) dengan pilihan utama ialah Yinson, Dayang Enterprise dan Malaysia Marine and Heavy Engineering.
Ia juga melihat prospek sektor O&G kekal positif dengan lebih banyak ruang untuk pemain perkhidmatan mendapatkan kadar yang lebih tinggi dalam keadaan bekalan yang terhad.
Bagi Kenanga Research pula, firma itu telah mengekalkan “neutral” terhadap syarikat minyak dan gas negara itu.
“Dengan jangkaan peningkatan perbelanjaan modal lebih tinggi oleh Petronas, kami menjangkakan suku tahun akan datang menyaksikan trajektori pemulihan berterusan dalam aktiviti tempatan.
“Terdahulu, dalam tinjauan aktiviti terkini Petronas, kami menekankan bahawa Dayang Enterprise Holdings Bhd sebagai salah satu penerima manfaat utama, memandangkan peningkatan yang dirancang dalam penyelenggaraan luar pesisir, pembinaan dan pengubahsuaian, serta kerja-kerja penyambungan dan pentauliahan,” kata Kenanga dalam nota penyelidikannya.
Ia juga berkata Uzma Bhd boleh mendapat manfaat daripada peningkatan tahap aktiviti medan yang telah diusahakan sebelum ini, terutamanya dalam persekitaran harga minyak yang lebih tinggi kerana pengeluar akan mendapat insentif yang lebih untuk meningkatkan pengeluaran di telaga minyak.
Selain itu, permintaan untuk pelantar ‘jack-up’ juga dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2022 dan menjelang 2023, memanfaatkan pembekal pelantar Velesto Energy Bhd, tambahnya.
Kenanga telah menurunkan taraf Petronas kepada “neutral” daripada “overweight” kerana ia melihat pemangkin kenaikan harga terhad untuk nama-nama Petronas yang bermodal besar, contohnya, PCHEM, PETDAG (MP; TP: RM24.00), MISC (MP; TP: RM7.50), walaupun ia terus melihat peluang terpilih dalam kontraktor peralatan dan perkhidmatan yang lebih kecil seperti ARMADA (OP; TP: RM0.75), DAYANG, WASEONG (OP; TP: RM0.97), YINSON (OP; TP: RM3.65).
Selain itu, ia menjangkakan harga minyak akan menurun secara beransur-ansur dalam jangka panjang daripada paras tertinggi pada 2022.
Bagi HLIB pula, ia percaya keuntungan dan aliran tunai Petronas akan kembali normal pada 2023, seiring dengan andaian purata harga minyak mentah yang lebih rendah sepanjang tahun.
“Kami percaya komitmen dividen sebanyak RM40 bilion boleh dilakukan. Kedudukan tunai bersih Petronas terus bertambah baik, meningkat kepada RM97.1 bilion pada akhir Disember 2022 daripada RM56.7 bilion pada akhir Disember 2021,” katanya.
Petronas mencatatkan prestasi kewangannya yang paling mantap dengan keuntungan bersih RM101.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (FY2022), naik 51 peratus berbanding RM50.9 bilion setahun lalu, didorong oleh keadaan pasaran yang menggalakkan tahun lepas. – BERNAMA